Sunday, April 28, 2013

Betik geram.

Assalamualaikum.

Moga teman-teman diberi kesihatan yang baik olehNya.  In shaa Allah.

Tak banyak aktiviti yang saya lakukan pada petang tadi.  Sakit kepala melanda lagi.  Dari semalam bercadang nak mengalihkan anak-anak betik geram yang disemai dengan sangat padat tu. . .tapi tak jadi juga.

Sebenarnya benih betik ni pun saya tak tau namanya.  Jika tengok tulisan pada peketnya,  benih ni dari Thailand.  Nak baca pun tak reti.  Alkisahnya,  pada mulanya elok jer saya semai 3 biji dalam satu lubang, dan dalam polibeg tu cuma saya buat 2 lubang sahaja.  Tunggu semaian tumbuh,  tak juga tumbuh.  Ohhh,  rupanya benih tak elok yang saya beli.  Apa lagi,  dengan perasaan geram sesangat,  saya taburkan semua benih yang ada dalam peket tu,  dan ini lah hasilnya. . .

kecil besar semua ada. .



Haaaaa . . .
Kan dah penuh satu polibeg.  Macam kem pelarian pulak jadinya.  Bersesak-sesak.  Bila dah tumbuh,  baru saya baca cara penanaman betik.  Rupa-rupanya benih betik mengambil masa agak lama untuk tumbuh.  Moga-moga esok lusa saya dapat alihkan ia ke dalam polibeg yang lebih selesa.

. . . . betik geram,  satu pengajaran untuk diri saya.  Hua hua hua. .

Thursday, April 25, 2013

Terung apa?

Assalamualaikum.

Diharapkan teman sekalian senang dan tenang di samping keluarga tercinta. .

Sepetang membelek laman dapur yang sekangkang Si Bulat, sorang diri.  Penat juga bila pembantu kena mesyuarat.  Husna pula taknak ikut ke laman.  Sudah darjah dua pun masih sibuk dengan kartun Spongebobnya.

Sedar tak sedar, pokok terung nan sebatang dah agak besar buahnya. Ada selebar dua jari saya ( guna ukuran orang tua-tua ),  tapi tak pasti apa jenisnya.  Terung telunjuk atau terung hijau yang saya suka tu, tak tau la pulak.  Ini lah akibatnya kalau beli anak terung dari nurseri.  Kalau benih terung daripada Encik Iskandar atau Puan Diana, memang pasti lah jenisnya.

Saya belum pernah tanam terung.  Memang takde pengalaman sedikit pun.  Bila melihat keadaan pokoknya,  saya rasa boleh tanam lagi lepas ni.  Apapun,  diharapkan teman sekalian sudi berikan jawapannya yea. . .

buah sulung

dua jer?



Tuesday, April 23, 2013

Anak kucing batu.

Assalamualaikum.

Dua tiga hari ni takde rasa nak tulis blog. . .

Kenapa??

Sakit hati.

Hahaha. . .lain kali saya cerita. . . .

Dalam sakit hati, gambar-gambar ni jadi penawar.  Saya ambil dari facebook sifu orkid Bukit Besi, Encik Ahmad.  Dah minta izin bertulis tau. . . Terima kasih banyak-banyak Encik Ahmad.

Felis bengalensis

garang betul

comelnyer

makkkkk....tolong..

pertama kali jumpa manusia





terlepas dan sembunyi dalam longkang

Sahabat saya.. Encik Ahmad

Menurut Encik Ahmad, beliau dan rombongannya terserempak dengan anak kucing batu ni berhampiran Air Terjun Cemerong, Dungun.  Seekor biawak nak baham anak kucing ni dan ibunya mempertahankannya.  Apabila Encik Ahmad tiba, kedua-duanya terkejut dan melarikan diri.  Tinggallah si anak bersendirian. . .kesiannya dia.  Apapun, selesai bergambar, anak ini dilepaskan kembali ke pangkuan ibunya yang menunggu tidak jauh dari situ. . .heheheh . . .jadik tukang cerita pulak.

Sedikit info mengenai Kucing Batu:
Kucing Batu (Felis bengalensis) salah satu daripada empat spesies kucing liar yang terdapat di negara ini. Tiga spesies yang lain ialah kucing tulap (Felis temmincki), kucing hutan (Felis pleniceps) dan kucing dahan (Felis marmorata). Keempat- empat spesies kucing liar ini digolongkan dalam keluarga Felidae. Taburan kucing batu bermula dari lembah Amur di Rusia, Cina, India, Myanmar, Indocina, Filipina, Sumatera dan kepulauan Borneo.

Kucing batu mempunyai warna bulu yang menarik, iaitu bulunya berwarna perang serta bertompok-tompok dengan warna hitam pada keseluruhan badannya, sementara warna bulu yang hampir sama dengan bulu harimau bintang (Pantera pardus). Corak bulu yang sama ini mungkin orang Inggeris menamakannya Leopard Cat. Bulu pada bahagian dagu dan perutnya pula berwarna putih. Warna bulu kucing batu jantan dan kucing batu betina sama sahaja. Kucing jantan pula mempunyai tubuh saiz badan yang lebih besar jika dibandingkan dengan badan kucing betina. Oleh sebab warna badannya hampir sama dengan harimau bintang, kadangkala ada orang yang menyangka bahawa kucing batu anak harimau bintang.
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November 2011.


Friday, April 19, 2013

Si Patah Tulang.

Assalamualaikum.

Hai, ramai ke kawan-kawan masuk calon bertanding PRU 13 nanti? Hehe. . . Apapun, diharapkan Malaysia kita tetap aman harmoni selama-lamanya.  In shaa Allah.

Petang semalam saya terjenguk-jenguk laman jiran.  Seharian anak jiran mesin rumput di laman rumahnya.  Haiiii..boleh tolong mesinkan rumput kat laman makcik tak?  Mana dia nak tolong mesinkan, saya tak tanya pun.

Dalam terjenguk-jenguk lihat lamannya yang dah bersih, saya terpandang pokok Patah Tulang yang banyak menjalar pada pagar.  Sekadar ditanam,  takde buat apa-apapun dengannya.

Saya dimaklumkan bahawa pokok herba ni digunakan untuk mengubati buasir ( psttt.. baca perlahan sikit yea ).  Caranya, petik pucuk yang lembut, yang betul-betul lembut,  dan terus ditelan.  Jangan dikunyah,  kelak mulut dan kerongkong terasa gatal.  Saya pun tak pernah cuba,  sebab tak berkenaan dengan penyakit di atas.  Alhamdulillah,  selamat.  Apapun, dinasihatkan merujuk kepada pakar tanaman dan pakar yang lain sebelum mencubanya.

Pokok Patah Tulang atau Sipatah patah ( Cissus quadrangularis L. Vitaceaesenang sangat nak tanam. .  Ambil batangnya dan cucuk ke tanah. Siram,  bagi cahaya matahari. . . In shaa Allah hidup la dia.


menjalar dan menjalar

pucuk yang dah tak berapa muda..
nampak laman jiran saya tak?
rumah persinggahan jiran saya.
dah botak rumput di sekitar rumahnya

bunga si patah tulang


Thursday, April 18, 2013

Kemboja merah ku sayang.

Assalamualaikum.

Semoga semuanya berada di dalam lindungan Allah Taala. . .

Pokok kemboja merah ni merupakan pokok ke empat ditanam di laman.  Sesetengah daripada kita tak suka dengan pokok kemboja.  Digelar bunga dari kuburan lah, tempat menumpang makhluk halus lah,  tapi bagi saya tidak demikian.  Saya suka kemboja.  Dah hampir setahun saya menunggu keluarnya kudup bunga,  tapi baru sekarang dapat menikmati keceriaan warna dan harum aromanya.  Alhamdulillah,  yang ditunggu dah tiba.  Sebelum ni, dah 2 kali jadi tipah tertipu.  Dikhabarkan kemboja merah,  tapi bila berbunga warnanya pink lembut.  Hadoiiii. . Dah la tersalah warna,  mahal pulak tu.

Sukanya hati bila lihat tanda-tanda akan berbunga. . .

hujung kudup nampak warna merah

yesss...merah tu
Lagi gembira pabila melihatnya mula berkembang. .




Sekali berbunga dapat 3 jambak.  Alhamdulillah



cantik warnanya

wangi
 Saya terbaca satu blog dari Indonesia. . Kajian dibuat mengatakan bahawa beberapa bahagian pokok kemboja dapat dijadikan ubat.  Bunga kemboja yang dikeringkan dikatakan dapat mengubati cirit-birit.  Rebusan kulit batang dapat mengurangkan sakit gigi, demam dan gangguan pembuangan.  Bukan itu sahaja,  daun dan getahnya pun berguna.  Hanya Dia Yang Maha Tahu.  Tapi bagi saya,  ianya sekadar hiasan di laman,  cukup lah dapat menghidu haruman semulajadinya.



Wednesday, April 17, 2013

Rezeki hari ini...

Assalamualaikum.

Semoga kita semua berada dalam redha Ilahi. . .

Rasa janggal pula bila petang-petang begini tak menjenguk tumbuhan di laman. . .ermmm.  Saja tak nak mandi hujan.  Kalau nak turun boleh sangat, hujan rintik-rintik jer.  Takpe lah, petang esok la saya tanam pegaga yang diberikan oleh kawan pada pagi tadi.  In shaa Allah.  Pegaga tu pun masih dalam keadaan elok.  Esok pun masih sempat, jika umur panjang. . .heee.

pegaga kampung pemberian Puan Anita

Di laman dah ada pegaga gajah, penuh sepasu dan dah tak termakan pun.  Di sekitar laman pun ada kelihatan pokok pegaga, tapi saya kurang pasti sama ada boleh dimakan atau tidak.  Jalan paling selamat,  tanyakan pada yang arif.

Buah katak puru ni saya dapat tengah hari tadi. Di sini lebih dikenali dengan nama buah katak puru atau buah kepek.  Belum pernah saya dengar orang Terengganu memanggilnya buah nam nam. Lain tempat, lain nama panggilannya.  Kata kawan saya, buah ubat darah tinggi ni.  Benar atau tidak, hanya Dia yang mengetahui.

buah katak puru pemberian Puan Roslina

makan dengan colek buah, sedap niiii

bijinya yang akan disemai.. mudah-mudahan tumbuh

daun kucai untuk Puan Na.
 kangkung dan cili padi untuk nasi goreng Husna

Semalam saya dah bawa daun kucai masa perjumpaan badan beruniform di sekolah untuk  aktiviti masakan. Budak-budak sibuk memasak cucur bilis dan cucur pisang, cikgu yang free pula masak cucuq kucai. . resipi orang Banjar Perak . Alhamdulillah, sama-sama kenyang.  Esok daun kucai untuk Puan Roslina pula yang tak merasa cucur semalam.

Terima kasih yea teman-teman. Murah rezeki saya hari ni. . .AlhamdulilLah.

Sunday, April 14, 2013

Anak bendi dan kereta antiknya.

Assalamualaikum.

Semoga semuanya berada di dalam Rahmat- Nya.  In shaa Allah.

Sudah dua tiga hari hujan melanda bumiku.  Syukur alhamdulilLah. . Rerumput di laman kembali menghijau, pokok-pokok bunga,  pokok-pokok sayuran juga kembali ceria, tidak ketinggalan juga semak dan rumpai di belakang rumah.  Semuanya gembira.

Banyak anak  pokok yang bercambah dan tumbuh subur di laman dapur, antaranya anak bendi yang benihnya saya dapat dari Pasar Tani Padang Hiliran.  Pelik juga lihat benih yang berwarna biru. Kalau ditanya jenisnya, memang saya tak tahu. . .tapi saya lihat perkembangan anak bendi ni lebih baik  berbanding benih yang saya dapatkan dari pasaraya. Syukur. . .  Moga-moga hasilnya juga lebih baik.

anak bendi di dalam kereta antik

selepas hujan



kereta tolak sporty dah jadi kereta antik

Kereta tolak lama itu lah yang selalu menjadi tempat semaian anak bendi.  Daripada tersandar pada dinding stor, lebih baik jadikan tempat semai pokok. . ada juga faedahnya.

Tuesday, April 9, 2013

Musim bunga Adenium obesum.

Assalamualaikum. . .

Semoga rakan taulan sihat sejahtera hendaknya.

Rindu nak menjenguk laman husna.  Rindu yang amat. . .rindu giler, kata orang muda. .   Namun keadaan tidak mengizinkan.  Surat diedarkan oleh pihak pentadbiran bahawa jemaah nazir akan memantau pelaksanaan KSSR.  Meskipun fail-fail telah disiapkan, namun banyak lagi yang perlu diperhatikan. . . mana tau ada yang tidak beres.  Eviden murid- murid juga perlu dikemaskini.  Dalam masa yang sama, ditugaskan pula di pertandingan bola jaring 12 tahun MSSDKTU. . .takpe lah, niatkan kerja sebagai ibadah. . . .alhamdulillah.

Khamis lepas pula, angah tercedera semasa perlawanan rugbi persahabatan.  Berkejar pula kami ke  unit kecemasan HSNZKT.  Kening angah terbelah , seperti huruf T terbalik.  Dijahit teliti oleh doktor bertugas.  Terima kasih doktor yea.  Alhamdulillah,  tak lah teruk sangat.  Angah pun dah balik ke maktabnya, meskipun masih dalam cuti sakit.  Tak nak ketinggalan dalam pembelajaran, katanya.

Lari tajuk la pulak.  Hehehe. . .Meh tengok musim bunga kemboja cina di laman. . Dah lama kembang, tapi tak sempat snap gambarnya.

pokok yang paling lebat bunganya

abaikan dinding pagar yang berkarat tu yea...tukang cat balik kampung

pada batang pun keluar bunga

Kemboja cina saya jenis biasa saja.  Saya semai dari biji benih yang dihadiahkan oleh kawan juga.



kemboja kesayangan saya, sekarang dah kurang berbunga

biji benih yang saya biarkan berterbangan ditiup angin

untuk kawan
Pokok paling bawah tu pelik sikit.  Sejak saya bagitahu,  dia akan saya hadiahkan kepada kawan, pokok ni dah malas berdaun, berbunga apatah lagi. Macam tu lah keadaannya sejak 2 bulan yang lepas.  Saya malu juga nak bagi orang dalam keadaannya sekarang. . Tunggu punya tunggu, ada la sekuntum dua bunganya. Daun pun begitu juga.  Dulu, bukan main lebat bunganya. Pokok pun pandai merajuk ehh?

Tuesday, April 2, 2013

Sandy makan pisang

Assalamualaikum. .

Didoakan teman-teman sihat, sesegar tanaman di laman. . .

Semasa saya menyiram tanaman di laman dapur, telinga ni dah menangkap suatu bunyi seperti sedang menggigit. . .

Saya tak ambil peduli pun, tapi Husna yang berteriak-teriak. . .

Ummi. . .ummi, tengok Sandy tu makan pisang makcik. . .

 Sandy? Sandy mana pulak ni Husna?

Rupa-rupanya Husna terlihat seekor tupai sedang mengerjakan jantung pisang Benggala terbiar, kepunyaan jiran saya.  Sandy pulak watak tupai dalam Spongebob tu. .  . Oooooo, patut la Husna panggil tupai tu Sandy . .

Sandy malu-malu..

sayangnya pisang benggala terbiar..

Bertandan-tandan pisang terbiar,  mungkin tiada permintaan pembeli,  kerana pisang ni mudah didapati di sini.  Masak nanti jadi rezeki burung, tupai atau musang pula.


makan petang

pergi sekejap, tapi datang balik

si jantung hati

Di tempat saya,  pisang Benggala yang muda dimasak acar. . .tapi prosesnya rumit sedikit .  Putik pisang dipotong  nipis-nipis,  tanpa putus.  Dicelur, disejukkan, diramas sedikit supaya keluar air dari putik pisang tu.  Kemudian, baru lah dimasak.  Bukan tak boleh buat, tapi hanya saya sorang yang makan.  Jadi, amatlah berbaloi saya beli sahaja di pasar. . .hehe