Followers

Friday, October 11, 2013

Tuaian pagi Sabtu.

Assalamualaikum buat semua teman.

Semoga pagi ini membawa keceriaan buat saya dan semua.

Semalam saya betul-betul hot. Sesiapa yang menjadi rakan Fb saya tau cerita ni. Ikhlas saya cakap...saya tak suka menipu dan ditipu. Apalagi oleh syarikat yang kita percayai. Malangnya kepercayaan tersebut tidak langsung dihargai. Kalau sekali dua, saya masih boleh terima...ini sudah berkali-kali diperlakukan demikian. Barangan yang sepatutnya saya diterima sendiri, ditinggalkan begitu saja tanpa pengetahuan. Asalkan ada penanda tangan pada resit penghantaran, ok. Siap. Apa guna kita letak nombor telefon sekiranya pekerja itu buta nombor. Saya memang suka membeli secara online, terutamanya pokok bunga dan orkid hutan..tetapi kadang-kadang terpaksa saya batalkan kerana tidak mahu terlibat dengan syarikat ini. Pagi semalam pekerja itu memang menipu saya...dan petangnya menelefon saya, minta saya tunggu vannya di tepi jalan. Maaflah...belum pernah seumur hidup saya, berdiri di tepi jalan, di tengah panas semata-mata nak dapatkan barangan saya. Hari ni saya nak lupakan, setelah membuat aduan kepada pihak atasan syarikat tersohor ini. Semakin dibiarkan, semakin menjadi-jadi pulak.

Layan tuaian cili hijau pada pagi ni.. benih dari lebihan cili pasar. Saya terpaksa petik ketika masih muda, memandangkan sebelum ini semua cili menjadi busuk di pokok. Kurus-kurus semuanya. . .tapi syukurlah. . .masih mengeluarkan hasil walau dah lama hidup. Cili- cili ni akan dijadikan cili jeruk. In shaa Allah.

Cili tuaian.  . .markisa jatuh sendiri. 

Hasil tidak putus-putus, walaupun sedikit

Cili yang akan dibiarkan masak.



Tuesday, October 8, 2013

Bunga Sate Kak Puteri

Assalamualaikum.

Semoga teman sekebun sihat sejahtera.

Keratan bunga sate yang dikirim oleh Kak Puteri semuanya hidup segar. . tiada satu pun yang terkulai layu.  Terima kasih kak. .  Namun, cuma sepokok sahaja yang baru belajar berbunga.  Cantik sekali berona ungu.

warna kegemaran saya dan Husna

Gambar semasa belum dialihkan. .

Penyeri laman dapur

Rasanya gambar-gambar ni diambil pada bulan lepas.  Semua kuntuman pertama dah gugur dan kini berganti dengan kudup-kudup kedua pula.  Alhamdulillah.

Husna juga turut gembira.  Tidak lupa menyampaikan salam dan ucapan terima kasihnya untuk makcik Puteri. . .he he.  Assalamualaikum.

Saturday, October 5, 2013

Naik Bukit Bendera

Assalamualaikum.

Diharapkan semua teman ceria dan berbahagia hendaknya.

Lama kita tidak bertemu. . .entahlah, terasa kurang semangat untuk berkunjung di laman sendiri, semenjak berjauhan dengan suami.  Setiap hari asyik menghitung hari . . .he he he. . .ummi pun dah terjangkit dengan Husna yang sentiasa menanda kalendar. Tarikh 23hb Oktober. . . dibulatkan besar-besar.  Semoga sayangku sihat di sana. .terutama hari- hari terakhir untuk menjalani ibadat haji.

Minggu lepas,  saya turut diberi peluang mengiringi anak-anak tahun 6 dan tahun 4 mengikuti lawatan akhir tahun ke Pulau Mutiara dan Kedah Darul Aman.  Seronok juga.  Lama tak makan angin dengan budak-budak. Macam-macam kerenah. . .

Tempat yang paling saya suka sepanjang lawatan tersebut ialah Bukit Bendera.  Indah dan nyaman alam ciptaan Nya.  Beberapa gambar yang sempat diabadikan untuk teman-teman yang tersayang. .


segar memukau


ros jepun kembang berseri

dahlia yang segar
nasib baik tak dijual. . 

kalau jual, dah saya angkut balik Terengganu

janda kaya a.k.a musa indah

Husna dan deretan dahlia

sebahagian peserta rombongan. . saya di sebelah kanan, paling belakang.
Walaupun singkat masa di sana . . .kami tetap gembira. 

Thursday, September 12, 2013

Salam Jumaat nan indah.

Assalamualaikum.

Semoga teman sekalian berada dalam keadaan sihat sejahtera dan ceria sentiasa.

Lama tidak mengepos ( kira boleh guna la yer..hehe ) di sini. Baru-baru ni, keadaan agak sibuk sedikit. Encik Suami telah menerima jemputan ke tanah suci. Banyak juga urusan yang perlu diselesaikan. Alhamdulillah. ..segalanya berjalan lancar. Pada 7 September lepas, berkebetulan dengan tarikh hari lahir saya, suami telah berlepas ke Madinah Al Munawwarah dengan penerbangan KT2.  Sayu juga melepaskan. . .tapi redha dan syukur kepadaNya kerana telah memilih suami tercinta sebagai salah seorang tetamuNya pada musim haji kali ni.

Selepas suami berlepas, barulah saya kembali menjenguk laman. Banyak juga aktiviti di laman sendiri yang saya terlepas..hehe. . . .  Tambahan pula, sudah hampir seminggu hujan membasahi bumi. Pagi ini saya tergerak hati menjenguk pergola orkid hutan dan mendapati Bulb.medusae telah berkembang cantik sekali.

berjurai- jurai. . .





Tuesday, August 13, 2013

Salam Syawal buat semua.

Assalamualaikum.

Minal `Aidil wal-Faizin.  Biar pun pagi ini sudah 7 Syawal,  belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil fitri buat semua teman.  Semoga semuanya berada di dalam keadaan yang sangat memuaskan.

Hari raya pertama dan kedua,  boleh dikatakan kami sekeluarga berada di rumah, menyambut tetamu yang sudi berkunjung.  Hari Raya ketiga dan keempat, baru lah dapat keluar beraya , menziarahi sanak saudara dan sahabat yang mengadakan rumah terbuka. Terima kasih semua.

Tahun ini merupakan tahun peperiksaan untuk anak kedua saya, angah Faiz.  Raya pun sikit-sikit aje.  Kasihan juga melihat dia bertungkus-lumus dengan pelbagai modul dan soalan,  jadi saya bertekad untuk menyambut lebaran dengan ala kadar sahaja.  Walaupun simple, raya tetap meriah.

Buat semua teman Laman Husna, mohon ampun dan maaf seandainya terdapat bicara yang mengguris perasaan. . .dan apa sahaja yang menyinggung rasa di dada.  Mohon berbanyak-banyak maaf ya.

Untuk semua. . .







Orkid merah pun nak beraya. . kembang di akhir Ramadhan, setelah sekian lama tak berbunga.

  " Taqabbalallahu minna wa minkum."

Monday, July 29, 2013

Rezeki Ramadhan Kareem.

Assalamualaikum.

AlhamdulilLah, syukur pada Mu Ya Allah kerana masih memberikan peluang kami semua menikmati Ramadhan-Mu ini.

Tengah hari tadi saya disapa rezeki dari Bumi Di Bawah Bayu. Bingkisan kiriman daripada Kak Puteri ( disinidalamlingkaranini.blogspot.com )  yang baik hati.  Walaupun telah dimaklumkan oleh beliau sebelum ini akan kiriman tersebut,  tidak terduga sama sekali akan mendapat sebanyak itu.

Terima kasih yang tidak terhingga kak. . .   Semoga Allah melipat gandakan rezeki dan dipermudahkan segala urusan kak Puteri terutama projek tanah pantai beliau.  Rasa malu pulak menerimanya.   Saya cuma kirimkan keratan kemboja merah  dan si patah tulang, serta anak-anak pokok kemboja cina.  Kak Puteri membalasnya dengan pelbagai jenis benih bunga dan sayur,  anak dan keratan snapdragon,  kopi asli yang segar serta yang paling banyak, iaitu ikan masin jenis anjang-anjang dan ikan sulit.  Oh,  banyaknya.

Terima kasih sekali lagi kak Puteri Purnama.

Kiriman merentasi Laut China Selatan



disertakan juga sepucuk surat cinta..hehe

kopi segar, pokok snapdragon, pelbagai jenis benih dan ikan masin

kat atas tu ikan sulit, dan di bawahnya ikan anjang-anjang . .belum pernah makan bha.


Untungnya bersahabat dengan rakan- rakan  yang murah hati,  kan ?  Syukur, alhamdulilLah.

Wednesday, July 24, 2013

Remayung Lebar Daun

Assalamualaikum.

Didoakan agar semua teman berada dalam keadaan yang sangat memuaskan.  In shaa Allah.

Hati ini baru tergerak untuk mencuba menanam remayung,  setelah membaca post-post daripada teman laman maya ini.  Memang saya suka sayuran,  tak kira apa,  alhamdulillah saya boleh jer menelannya.

Kalau tak silap, saya semai remayung hijau dan merah ni pada akhir Jun.  Sangkaan saya,  ianya tak nak tumbuh sebab agak lama menunggu. Rupanya tak sia-sia menanti.  Dan sekarang, rasanya tak sabar nak menuainya.

Gambar minggu lepas.

remayung hijau

remayung merah


Kat bawah ni pulak gambar petang tadi. . . .



Daunnya sangat lebar.  Hampir dua tapak tangan saya.



Remayung hijau dah melilit.  Saya cuma gunakan dahan ( atau ranting ) mulberi yang dicantas untuk menyokong lilitannya.

Ermm...  teringat kisah  Sang Sapurba berwaadat dengan Demang Lebar Daun.   Semasa bersekolah dahulu saya pernah mengkajinya.   Namun hari ini, tak sabar rasanya nak berwaadat dengan remayung lebar daun pulak.  Masak tumis atau pun digoreng bersama ikan masin.  Cepat-cepat la besar. Heee....