Followers

Saturday, December 21, 2013

Kailan Hidroponik

Assalam.

AlhamdulilLah. . . setiap kali saya menanam secara hidroponik,  hasilnya agak lumayan berbanding bertanam di dalam pasu.  Kadang-kala datang juga mood sedih apabila melihat hasil yang tidak seberapa.   Mungkin tiada rezeki lebih kerana ilmu pertanian yang kurang. . .hehehe.  

Kali ni bertanam kailan.  Pokok kailan sebenarnya disemai di atas tanah.  Memandangkan pertumbuhannya yang sangat lambat,  saya alihkan ke takung hidroponik.  Syukur. . .subur dan besar-besar daunnya.






Ermmm. . .dah terbau kailan ikan masin. .yum yum.

Friday, December 20, 2013

Belajar Tanam Anggur.

Assalam.

Salam petang Jumaat buat semua teman yang budiman.

Saya benar-benar teruja ketika membaca blog teman-teman yang bertanam pokok  anggur.  Pokoknya yang hidup subur,  serta berbuah manis yang bergugus-gugus seperti di luar negara.  Hasrat menanam anggur sudah lama tersemat,  tapi saya tidak yakin ianya dapat hidup seperti yang dipaparkan di blog-blog penanaman anggur yang hebat itu.

Pada awal tahun saya telah menempah dua pokok anggur dari Saloma Vineyard & Nursery,  tapi kedua-duanya dah arwah dikerjakan ayam-ayam jiran.  Kasihannya pokok-pokok tersebut.  Entah bila jiran saya nak bina reban untuk ayam-ayamnya,  saya pun tak pasti.   Mentang-mentanglah pelihara ayam kampung,  semua dibiar lepas bebas begitu.

pelepah palma sebagai perisai daripada serangan Cik Yam.

berusia 2 bulan di laman


Ini pokok anggur edisi kedua saya. . .  Belum terfikir nak letak kat mana.  Saya minta suami bina para-para yang ringkas sahaja untuk diletakkan di tepi pagar.  Suami pula suruh letak pada pergola orkid sedia ada.  Hehe. . .tengok lah nanti berumah di mana. . .  Apapun, syukur alhamdulillah,  pokok ni boleh tahan suburnya hingga pokok berdekatan pun dipautnya.

Tuesday, December 17, 2013

'Sexy' Dalam Semak.

Assalam.  Ceria sungguh hari ni. . . . Alhamdulillah.

Kasihan Sexy Pink saya.   Itu la. . . main letak saja kat mana- mana yang nampak kosong.  Akhirnya,  nampak agak terpinggir bersama pokok dan rumpai lain.  Sehingga sekarang,  saya baru mempunyai empat jenis pokok heliconia,  dan ini  yang paling saya suka .

antara ratusan spesis heliconia

Dikhabarkan berasal dari benua Amerika,  Heliconia chartacea ini mampu tumbuh melebihi 7 meter.  Ermmm,  tak kisah lah. Apa yang penting, warna merah jambunya sangat menawan kalbu.


Sexy Pink selesa dalam semak

Saya juga masih tercari- cari si kembarnya,  Sexy Scarlet.  Tapi entah bila dapat bertemu. . . tambahan pula,  lawatan sosial ke nurseri berhampiran pun bukannya rajin sangat dilakukan. .hehe.

Sexy Scarlet. . .*gambar Google*

Sunday, December 15, 2013

Benih Kasih Sayang. . .

Assalam,  dan salam penuh keceriaan buat semua teman. . . .

Rasa kurang sihat dulu rupanya petanda akan demam dan batuk berpanjangan.  Alhamdulillah,  nasib baik dalam tempoh cuti lagi dan setelah dua minggu melaluinya,  kini semakin pulih.  Bak usikan doktor yang saya jumpa,   `demam musim hujan tu. . . .'. .

Pada minggu lepas, saya menerima kiriman benih daripada Rose Semua Menjadi.  Minggu sebelumnya saya menerima benih-benih daripada Diana di Kebun Bahagia Bersama.  Memandangkan keadaan tidak mengizinkan,  maka saya tangguhkan dulu hasrat menyemai benih-benih harapan dan benih-benih kasih sayang yang disertakan bersama.  Apapun,  berbanyak-banyak terima kasih buat Diana dan Rose.


Dari Kebun Bahagia ~  macam-macam ada. . 


Daripada laman Semua Menjadi 


Benih kasih sayang daripada Rose SM  *free ler tu*


Bayi kasih sayang,  si tenggek burung


Keratan tenggek burung

Moga nanti dapat sama-sama menghirup udara di Laman Husna,  in shaa Allah.

Sunday, December 1, 2013

Cinta Kura-kura.

Assalamualaikum.

Semoga beroleh rahmat-Nya pada pagi Isnin.  Selamat berpuasa sunat bagi rakan taulan yang berpuasa.  Saya pula,  hajat dan niat memang ada.  Iye lah,  musim cuti sekolah ni,  takde nak berkejar ke sekolah dan beraktiviti bagai.  Tapi sejak semalam selsema dan sakit tekak melanda.  Rasa kurang sihat seluruh badan.  Terpaksa ditangguhkan untuk telan ubat.

Ermmm. . . macam tajuk filem pulak.  Bintang filem si kura-kura yang bercakap,  suara sebijik macam suara Zizang @ Zizan Razak .

Ini anak kura-kura Husna.  Kalau boleh,  semua dia nak bela.  Biri- biri pun comel katanya.  Senang sangat nak bela kura-kura.  Bagi makan secukupnya,  jangan berlebihan.  Kebersihan air dan bekas kura-kura tersebut juga perlu dijaga.  Dahhh. . . .





Gambar- gambar di atas oleh Husna sendiri.

semasa di kedai


Wednesday, November 27, 2013

Hoya Imperialis.

Assalamualaikum dan salam ceria buat semua.

Semalam dan hari ni,  cuaca kurang ceria.  Seketika terlihat matahari bersinar,  dan sekelip mata kembali mendung.  Keadaan biasa bagi kami di Pantai Timur.  Hehehe.

Hari ni entri tumbuhan tengok aje,  tak boleh makan.   Jom tengok hoya Imperialis.  Kali ni kembang elok pulak dia. Tak sangka tiada kudup yang gugur,  memandangkan asyik ditimpa hujan.   Sebelumnya dah banyak kali kembang,  tapi cuma 2, 3 kuntum yang lekat di tangkai.  Saya cukup suka dengannya kerana kuntumannya yang besar,  warna pun menarik.  Ada sedikit bau manis juga.


mula berkembang

tergantung di pergola

pinjam Acik untuk pegang tangkainya

bunga lilin hoya imperialis.
 

Hajat di hati nak tambah koleksi lagi.  Tapi selalu terbeli hoya yang sama.  Iye lah,  masa beli belum berbunga atau baru lepas berbunga.  Bila dah kembang bunganya, alamak rupa-rupanya hoya yang sama.



Kelat Abu Tuaian Petang Rabu.

Assalam dan salam sejahtera buat semua teman.

Lama menanti. . .lama menunggu.
Akhirnya,  ternampak sebiji yang telah masak. . .
Alhamdulillah.
Rezeki dari Allah.


Melihat  daripada rupanya,  memang cam sangat.  
Kami di sini memanggilnya pisang Kelat Abu.  
Dah boleh tebang ni.
Tapi,  dah janji dengan Angah Faiz untuk mengambilnya di maktab seusai  Kertas 3 Biologi,  kertas peperiksaan SPM yang terakhir untuknya.
Ok,  selesaikan urusan Angah dulu.

siap ditebang oleh Abang Aji

rezeki  Allah untuk dikongsi


Sayonara MRSMKT. . .
Tempat jatuh lagi dikenang,
Ini kan pula tempat bermain.

Acik siap sedia membantu.


Wednesday, November 20, 2013

Markisa Pontian.

Assalamualaikum dan salam ceria buat teman sekelian. . . .

Di antara buah-buah kampung yang saya terliur sangat semasa zaman kanak-kanak ialah buah markisa.
Kami memanggilnya buah susu.  Kebetulan ada seorang pakcik, pengusaha batik terkenal di kampung saya masa dahulu menanam pokok ini.  Nak pergi mengaji mesti lalu dekat pokok ni.  Balik mengaji pun lalu juga.  Terteleng-teleng kepala melihat buah markisa yang bergayutan.  Nak minta selalu. . . nanti dikata orang kami ni tak cukup makan.  Bila nampak mood pakcik tu baik, tak minta pun dibahaginya kepada kami.  Alhamdulillah.

Banyak kali juga saya bertanya pemilik nurseri di sekitar kediaman tentang pokok markisa. . .tapi tidak dijual pula.  Sehinggalah saya bercerita dengan adik saya yang tinggal di Pontian, tentang hajat hendak menanam pokok markisa di pergola orkid hutan. . .sebagai netting semulajadi melindungi orkid- orkid dari bahang matahari.

Bagai pucuk dicita, ulam mendatang,  dengan selamba adik saya memberitahu di kampungnya pokok ni sangat banyak ditanam. . . ishh ishh. . .awat tak cakap?  Dengan senang hatinya adik saya membawa balik keratan batang markisa yang diambil dari rumah pengasuh anak saudara saya. Adik ipar saya Mohd Razi,  telah membeli 2 anak pokok markisa dari nurseri di Pontian semasa Aidilfitri tahun lepas.  Alhamdulillah pokok markisa yang dibeli dan keratan batang hidup subur.

Namun,  buahnya tak kunjung tiba.  Selalu berbunga tetapi tidak menjadi putik.  Sudah berjenis- jenis baja yang diberikan.  Hasilnya. . . .

Gambar bulan lepas
Mabuk daun. . .


Pening juga melihatnya. . .google punya google. . .akhirnya cuba kaedah potong sebahagian ranting lembutnya.

Dalam beberapa minggu,  banyak betul bunga dan putik buah yang kelihatan. . .

Gambar minggu lepas

Sekarang bunga dan putik buah muncul silih berganti . . .

Gambar hari ini. . .kehujanan lagi

Semoga dapat matang juga walaupun dalam keramahan hujan musim tengkujuh. . .in shaa Allah.

Saturday, November 9, 2013

Kenduri Orkid.

Assalam dan salam sejahtera. . .

Hari ni hujan belum turun,  angin pun biasa-biasa je, walaupun diberitakan Taufan Haiyan sedang melanda Filipina.  Sempatlah bagi makan orkid-orkid saya yang tidak seberapa tu.

Rupa-rupanyanya ada kenduri.  Kumbang- kumbang kuning yang kecil ni sibuk kendurikan bunga orkid vanda merah jambu saya.  Apo nak dikato. . .racun perosak pokok dan bunga orkid masih belum beli lagi. . .biarlah makhluk kecil ni makan sepuas-puasnya.  Asalkan tidak rosak pokok dan akarnya.  Lagipun pada musim hujan ni,  bunga-bunga orkid tidak tahan lama. . .


macam sedap jer. . .macam best jer. . .


macam jeling jer. . .macam marah jer. . .hihihi


sebahagian hasil kenduri. . .

Semoga teman semua baik-baik aje yer. .

Friday, November 8, 2013

Ceri Barbados vs ceri Terengganu.

Assalamualaikum.

Salam petang Jumaat buat semua teman.  Di sini telah pun masuk musim tengkujuh. . . Boleh dikatakan setiap hari hujan turun.  Pagi,  petang atau malam.

Semoga semuanya sihat walafiat yer.

Lama saya tak meronda Pasar Tani.  Iye  lah,  memang tak seronok kalau meronda dengan Husna aje.  Nanti banyak pokok yang hendak diangkutnya.  Alhamdulillah,  abang aji ( hehehe)  telah selamat tiba pada 23 Oktober lepas,  sekarang dah mula bekerja dan sibuk seperti biasa.

Pada minggu lepas,  dapat juga memujuknya singgah sebentar di Pasar Tani Padang Hiliran.  Dapatlah angkut beberapa pokok.  Pokok mangga cok anan, mas hitam,  pokok limau kasturi lagi (  sudah 3 kali ditanam,  tetapi ke tanah jua akhirnya ) dan sebatang pokok yang diperkenalkan sebagai ceri Terengganu.  Hi hi hi, takkan lah orang Terengganu tak kenal pokok ceri Terengganu.  Tergelak dalam hati cuma.

Ini pokoknya. . .


Ini pulak bunganya . . .



Putik buahnya. . .


Walaupun belum pernah tengok sendiri pokok ceri barbados,  dan hanya jumpa di laman internet sahaja. . .saya amat yakin ianya ceri barbados dan bukannya ceri Terengganu.

Ini hah  pokok ceri Terengganu. . .

Gambar pinjam daripada Google.
Saya belum menanam pokok ceri Terengganu.  Entah,  takde rasa nak tanam,  sebab dah biasa sangat tengok dan masa kecik-kecik dulu dah puas makan buahnya.


Friday, October 11, 2013

Tuaian pagi Sabtu.

Assalamualaikum buat semua teman.

Semoga pagi ini membawa keceriaan buat saya dan semua.

Semalam saya betul-betul hot. Sesiapa yang menjadi rakan Fb saya tau cerita ni. Ikhlas saya cakap...saya tak suka menipu dan ditipu. Apalagi oleh syarikat yang kita percayai. Malangnya kepercayaan tersebut tidak langsung dihargai. Kalau sekali dua, saya masih boleh terima...ini sudah berkali-kali diperlakukan demikian. Barangan yang sepatutnya saya diterima sendiri, ditinggalkan begitu saja tanpa pengetahuan. Asalkan ada penanda tangan pada resit penghantaran, ok. Siap. Apa guna kita letak nombor telefon sekiranya pekerja itu buta nombor. Saya memang suka membeli secara online, terutamanya pokok bunga dan orkid hutan..tetapi kadang-kadang terpaksa saya batalkan kerana tidak mahu terlibat dengan syarikat ini. Pagi semalam pekerja itu memang menipu saya...dan petangnya menelefon saya, minta saya tunggu vannya di tepi jalan. Maaflah...belum pernah seumur hidup saya, berdiri di tepi jalan, di tengah panas semata-mata nak dapatkan barangan saya. Hari ni saya nak lupakan, setelah membuat aduan kepada pihak atasan syarikat tersohor ini. Semakin dibiarkan, semakin menjadi-jadi pulak.

Layan tuaian cili hijau pada pagi ni.. benih dari lebihan cili pasar. Saya terpaksa petik ketika masih muda, memandangkan sebelum ini semua cili menjadi busuk di pokok. Kurus-kurus semuanya. . .tapi syukurlah. . .masih mengeluarkan hasil walau dah lama hidup. Cili- cili ni akan dijadikan cili jeruk. In shaa Allah.

Cili tuaian.  . .markisa jatuh sendiri. 

Hasil tidak putus-putus, walaupun sedikit

Cili yang akan dibiarkan masak.



Tuesday, October 8, 2013

Bunga Sate Kak Puteri

Assalamualaikum.

Semoga teman sekebun sihat sejahtera.

Keratan bunga sate yang dikirim oleh Kak Puteri semuanya hidup segar. . tiada satu pun yang terkulai layu.  Terima kasih kak. .  Namun, cuma sepokok sahaja yang baru belajar berbunga.  Cantik sekali berona ungu.

warna kegemaran saya dan Husna

Gambar semasa belum dialihkan. .

Penyeri laman dapur

Rasanya gambar-gambar ni diambil pada bulan lepas.  Semua kuntuman pertama dah gugur dan kini berganti dengan kudup-kudup kedua pula.  Alhamdulillah.

Husna juga turut gembira.  Tidak lupa menyampaikan salam dan ucapan terima kasihnya untuk makcik Puteri. . .he he.  Assalamualaikum.

Saturday, October 5, 2013

Naik Bukit Bendera

Assalamualaikum.

Diharapkan semua teman ceria dan berbahagia hendaknya.

Lama kita tidak bertemu. . .entahlah, terasa kurang semangat untuk berkunjung di laman sendiri, semenjak berjauhan dengan suami.  Setiap hari asyik menghitung hari . . .he he he. . .ummi pun dah terjangkit dengan Husna yang sentiasa menanda kalendar. Tarikh 23hb Oktober. . . dibulatkan besar-besar.  Semoga sayangku sihat di sana. .terutama hari- hari terakhir untuk menjalani ibadat haji.

Minggu lepas,  saya turut diberi peluang mengiringi anak-anak tahun 6 dan tahun 4 mengikuti lawatan akhir tahun ke Pulau Mutiara dan Kedah Darul Aman.  Seronok juga.  Lama tak makan angin dengan budak-budak. Macam-macam kerenah. . .

Tempat yang paling saya suka sepanjang lawatan tersebut ialah Bukit Bendera.  Indah dan nyaman alam ciptaan Nya.  Beberapa gambar yang sempat diabadikan untuk teman-teman yang tersayang. .


segar memukau


ros jepun kembang berseri

dahlia yang segar
nasib baik tak dijual. . 

kalau jual, dah saya angkut balik Terengganu

janda kaya a.k.a musa indah

Husna dan deretan dahlia

sebahagian peserta rombongan. . saya di sebelah kanan, paling belakang.
Walaupun singkat masa di sana . . .kami tetap gembira.